Skip to main content

Cara Menggunakan Hair Dryer/Pengering Rambut Dengan Betul

Pengering Rambut atau Hair Dryer seringkali digunakan untuk mengeringkan rambut mahupun untuk stailing rambut. Bila kita tak mempunyai masa yang banyak nak-nakkan lagi pakai tudung, pengering rambut boleh dikatakan sebagai life saver untuk pastikan rambut kering dengan cepat, mudah dan kelihatan terurus.

Namun, cara penggunaan yang salah boleh menjadikan pelbagai masalah timbul. Kalau salah caranya rambut boleh jadi kering, rapuh, senang patah dan paling ditakuti adalah rosak… Haish, tak nak kan perkara ni terjadi pada rambut anda? Jadi jom kita lihat apakah cara yang betul untuk gunakan pengering rambut.

1. Pastikan Rambut Separa Kering

Cara pengeringan rambut yang terbaik adalah melalui pengeringan secara natural iaitu air-dry atau menggunakan tuala. Tapi bila masa tak cukup semestinya penggunaan pengering rambut diperlukan. Namun, perlu diingatkan sebelum menggunakan pengering rambut pastikan anda biarkan rambut anda separa kering dan bukan ketika masih basah. Ini kerana rambut akan mudah rapuh dan patah. Jadi sebaiknya keringkan dahulu rambut anda dengan tuala supaya rambut tak terlalu basah.

2. Tetapkan Suhu Yang Sederhana

Penggunaan suhu yang tinggi pada rambut boleh menjadikan rambut kehilangan kelembapan seterusnya jadi kering dan mudah rapuh serta patah. Jadi sebaiknya gunakan suhu yang sederhana untuk menjaga kelembapan rambut. Untuk pengering rambut yang berkuasa 1000 – 1200 watt, suhu yang terbaik adalah 50 -60°C.

3. Pakaikan Serum Pada Rambut

Penggunaan serum khusus sebelum mengeringkan rambut dengan pengering rambut amatlah penting. Serum rambut berfungsi untuk melindungi rambut dari kerosakan disebakan oleh suhu yang tinggi. Selain itu, serum juga dapat menjadikan rambut kelihatan licin dan bersinar.

4. Belahkan Rambut Kepada 2 Bahagian

Membelah rambut kepada 2 bahagian sebelum mengeringkan rambut sangatlah perlu, nak-nakkan lagi kalau rambut anda jenis tebal. Teknik ini dapat memastikan rambut dapat dikeringkan dengan sekata dan tiada bahagian rambut yang tertinggal. Sepitkan rambut untuk mudah keringkan satu-satu bahagian.

5. Pastikan Jaga Jarak Antara Pengering Dan Rambut

Untuk pastikan rambut sihat dan kelembapan terjaga, pastikan anda menjaga jarak antara pengering dan juga rambut agar tidak terlalu dekat. Penggunaan suhu yang tinggi dengan jarak yang dekat akan mengakibatkan rambut hilang kelembapan, menjadi kering seterusnya akan menjadikan rambut mudah rosak. Kekalkan jarak pengering dan rambut dalam 15-20cm untuk pastikan kelembapan rambut terjaga.

6. Jangan Tumpu Pada Satu Bahagian Sahaja

Gerakkan pengering rambut pada setiap kawasan rambut. Jangan hanya fokus pada satu bahagian kerana pengeringan tak akan jadi menyeluruh dan rambut akan cepat rosak dan rapuh. Satu tips adalah gerakkan pengering rambut ke arah berlawanan jatuh rambut. Ini memastikan rambut akan cepat kering.

7. Buat Rawatan Rambut Secara Berkala

Sememangnya penggunaan pengering rambut secara kerap akan mendedahkan rambut kepada kerosakan. Jadi untuk elakkan masalah ini cuba luangkan masa untuk ke spa rambut dan lakukan rawatan rambut untuk pastikan rambut kekal sihat dan cantik. Pening nak pergi salon rambut yang mana? Jom cuba Rusila Spa. Kami mempunyai pakej Luxury Hair Treatment untuk merawat rambut anda dan menjadikannya sihat dan cantik. Tempah temujanji anda sekarang.

Leave a Reply